m.a.r.a

MARA atau Majlis Amanah Rakyat adalah merupakan antara agensi kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Antara bidang tugas yang perlu dilaksanakan oleh MARA adalah berkaitan bidang keusahawanan dan perniagaan seperti Program Pembangunan Usahawan, Pembangunan Industri dan Perniagaan, Pembiayaan Perniagaan serta dipertanggungjawabkan untuk mengusahakan pembangunan Premis Perniagaan. Selainbidang keusahawanan, MARA juga turut berperanan dalam membantu menaikkan taraf pendidikan negara. Boleh dikatakan setiap tahun MARA memperuntukkan sejumlah besar daripada kewangan mereka untuk disalurkan dalam bentuk tajaan dan pinjaman kepada para pelajar dalam pelbagai bidang. MARA juga turut dikenali dalam bidang pendidikan melalui penubuhan Maktab Rendah Sains MARA atau MRSM. Apa yang dapat dirumuskan secara ringkas adalah MARA begitu gigih dalam menghasilkan lebih ramai usahawan-usahawan di negara kita selain sentiasa berusaha untuk melahirkan lebih ramai golongan bijak pandai di negara kita.

MARA juga telah menetapkan misi korporatnyauntuk menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk pengusahaan ekuiti Bumiputera. Untuk itu, MARA turut meletakkan sasaran bagi melahirkan usahawan yang berjaya dan inovatif, melahirkan modal insan global dan berintegriti, menyumbang kepada pemilikanekuiti, serta memudahkan sistem penyampaian. Bagi memastikan segala misi dan tujuan yang disasarkan tercapai, pihak MARA sedia membantu sesiapa sahaja terutama bagi mereka-mereka yang berminat untuk menjalankan apa jua jenis perniagaan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Bantuan yang diberikan oleh MARA adalah dalam bentuk pinjaman atau pembiayaan.

Skim Pembiayaan Perniagaan yang diperkenalkan oleh MARA adalah meliputi mana-mana sektor perniagaan yang tidak bercanggah dengan Syariat Islam. MARA akan membantu perniagaan-perniagaan seperti Sektor Pembuatan, Perdagangan, Perkhidmatan dan Pemborongan. Sektor Pembuatan adalah seperti perusahaan perkilangan yang mengusahakan makanan dan minuman, plastik, elektrik dan komponennya, tekstil pakaian dan kulit, hasil pertanian, serta telekomunikasi. Konsep Perdagangan pula melibatkan urusan jual beli barangan seperti penjualan perabot, peruncitan, pasar mini, stesen minyak dan mana-mana yang berkaitan dengan aktiviti perdagangan. Kedai gunting rambut, restoran atau kedai-kedai makan, guaman dan klinik pula antara contoh bagi sektor Perkhidmatan. Pemborongan yang dimaksudkan oleh MARA pula adalah bagi kerja-kerja kontrak binaan, bekalan dan perkhidmatan seperti membina bangunan, membuat jalan dan pendawaian elektrik. Skop pembiyaan perniagaan yang ditekankan oleh MARA ini jelas tidak bertentangan langsung dengan hukum-hukum Islam.

Leave a comment