Prosedur Permohonan Pembiayaan Perniagaan

Terdapat beberapa prosedur yang digariskan oleh MARA untuk mana-mana syarikat yang berminat untuk mendapatkan bantuan pinjaman yang ditawarkan. Bagi Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) dan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPPP), borang permohonan boleh didapati melalui mana-mana Pejabat MARA Daerah/Negeri yang berhampiran. Sebanyak empat borang yang perlu didapatkan iaitu :

1. Borang Permohonan Pembiayaan Perniagaan

2. Borang Maklumat Peribadi

3. Borang Jaminan/Cagaran

4. Senarai Semak Permohonan Pembiayaan

Sejumlah bayaran pemprosesan permohonan juga dikenakan mengikut kadar pinjaman yang dimohon. Bagi Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM), permohonan boleh dilakukan dengan menggunakan rancangan perniagaan kepada bank komersial yang berhampiran iaitu Bahagian Pembiayaan Perniagaan MARA dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Para usahawan boleh membuat permohonan di Pejabat MARA Daerah dan setelah diteliti oleh Pejabat MARA Daerah, borang tersebut akan dihantar kepada Pejabat MARA Negeri/Bahagian Pembiayaan Perniagaan dan sekiranya Pejabat MARA Daerah tidak berpuas hati, borang-borang tersebut akan dikembalikan semula kepada pihak pemohon. Pejabat MARA Negeri/Bahagian Pembiayaan Perniagaan bertindak sama ada untuk meluluskan atau tidak permohonan yang telah dibuat.

Pejabat MARA Negeri mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sebarang keputusan bagi permohonan yang melibatkan Skim SPiKE dan Skim SPPP yang melibatkan permohonan pembiayaan sehingga RM250,000. Bahagian Pembiayaan Perniagaan pula berbidang kuasa untuk sebarang permohonan Skim SPPP yang berjumlah RM250,001 sehingga RM500,000 dan Skim SJUM. Sebarang keputusan akan dimaklumkan oleh MARA kepada pihak pemohon dalam tempoh 14 hari bekerja. Selain itu, bagi memudahkan para pelanggan, MARA turut menyediakan garis panduan berkaitan bagaimana untuk menyediakan rancangan perniagaan.

Tujuan rancangan perniagaan perlu disediakan adalah untuk membolehkan usahawan melihat dan menilai projek secara objektif, kritikal dan praktikal. Selain itu, rancangan perniagaan dapat menjadi satu kayu ukur bagi pengurusan perniagaan dalam masa yang sama mengkaji sama ada projek yang akan dilaksanakan berdaya maju atau sebaliknya. Rancangan perniagaan juga berperanan untuk meyakinkan pihak-pihak tertentu terhadap idea-idea perniagaan dan sebagai asas bagi cadangan pembiayaan. Dengan adanya rancangan perniagaan, maka objektif dan peluang untuk melaksanakan perniagaan tersebut adalah lebih cerah dan mudah.

Dalam persoalan cagaran atau jaminan pula, MARA telah mengenalpasti beberapa langkah dan kaedah. Bagi Jaminan Orang Perseorangan iaitu bagi yang bermajikan, adalah dibenarkan dengan mengambil mana-mana kakitangan sektor awam atau swasta sebagai penjamin. Cara kedua pula adalah melalui cagaran tanah. MARA menerima tanah sebagai cagaran bagi tanah yang bebas dari sekatan, milik sendiri, atau milik ibu bapa dan saudara-saudara yang terdekat. MARA turut membenarkan cagaran yang dibuat dengan menggabungkan penjamin dan juga tanah. Selain itu, jaminan tambahan yang dibenarkan adalah seperti jaminan Ahli Lembaga Pengarah untuk Syarikat Sendirian Berhad, Surat Ikatan Serahak bagi pembiayaan kontrak, dan Perjanjian ‘Debenture’ bagi pembiayaan RM250,001 dan ke atas. Cagaran atau jaminan yang dikenakan oleh MARA bertujuan untuk memastikan para usahawan lebih bersungguh-sungguh dan gigih menjalankan perniagaan apabila telah mendapat pembiayaan daripada MARA.

MARA turut menyediakan perkhidmatan taklimat pembiayaan yang telah dijadualkan mengikut tarikh-tarikh tertentu. Ini bagi memastikan, para usahawan berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut tentang skim-skim pinjaman yang ditawarkan. Taklimat pembiayaan yang diadakan juga merupakan salah satu strategi bagi MARA mempromosikan skim-skim yang ada kepada msyarakat secara umum. Sesiapa sahaja yang berminat boleh menyertai sesi taklimat ini dengan menghubungi pihak MARA untuk mendapatkan butir-butir berkaitan penganjuran taklimat tersebut.

Leave a comment